Rabu, 29 Mei 2013

SELERA MAKAN KETIKA HAMIL

Disebabkan saya sedang berada di fasa kehamilan anak kedua kali ini, makanya saya pun sibuk menggali lagi ilmu sepanjang fasa ini. Sementelahan itu, saya pun ingin kongsikan dengan anda info-info yang penting dan menarik untuk para ibu sekalian.

Di fasa kehamilan ini ia adalah penting untuk mencuba dan menambahkan pengambilan vitamin dan mineral tertentu (seperti asid folik dan zat besi). Jika diet tidak begitu baik pada mulanya, buatlah perubahan diet dengan mengambil hidangan yang berkhasiat dan seimbang. Hadkan makanan ringan sebab ia hanya membekalkan kalori kosong iaitu kalori dengan sedikit atau tiada nutrien. 

Badan akan menjadi lebih efisyen apabila anda hamil dan ia dapat menggunakan tenaga yang didapati dari makanan yang diambil dengan lebih baik. Secara amnya, wanita tidak perlu kalori tambahan pada 6 bulan pertama kehamilan dan hanya sebanyak 200 kalori tambahan setiap hari untuk 3 bulan terakhir. 

200 kalori bersamaan dengan:
  • 2 keping roti gandum penuh dan marjerin/mentega;
  • 1 biji kuih popia (tidak digoreng);
  • tosai kosong (tanpa kuah atau kari);
  • 1 keping keju dengan roti.

Selera makan kita adalah petunjuk terbaik untuk mengetahui berapa banyak makanan yang perlu diambil. semasa kehamilan ini, selera makan kita akan berubah-ubah: 

1)   Pada beberapa minggu pertama, selera makan akan berkurangan secara dramatik dan akan rasa tidak mahu makan hidangan yang penuh, terutamanya jika mengalami loya atau mabuk. Pengalaman saya, pada kehamilan pertama dahulu, selera makan saya pada trimester pertama tidak banyak perubahan cumanya akan muntah selepas itu. Tapi pada kehamilan kali ini, saya tiada muntah2, namun loya dan pening2 yg kerap pada waktu tengahari dan petang membawa ke malam. Selera makan yang sangat teruk kerana tidak boleh bau nasi sekalipun. Saya juga tidak mampu ke dapur kerana bau makanan dan masakan. Kiranya mabuk saya kali ini agak teruk dari segi selera.

2)   Semasa pertengahan kehamilan pula, selera makan adalah sama dengan sebelum hamil atau bertambah sedikit.

3)   Pada waktu akhir kehamilan, selera makan akan bertambah tetapi jika mengalami pedih hulu hati atau satu perasaan kekenyangan selepas makan, mungkin boleh makan dengan kerap tetapi dengan jumlah sedikit.

Perkara yang perlu diingat ialah makan apabila anda berasa lapar. Jangan risau mengenai perubahan selera makan asalkan mengikuti nasihat yang diberikan mengenai jenis makanan yang perlu diambil dan berat badan bertambah pada kadar yang betul, yang akan diawasi oleh pakar obstretik anda. 

Bergembiralah semasa kehamilan ini, dan hadapilah fasa ini dengan tenang sesungguhnya kehamilan ini anugerah tidak terhingga untuk keluarga anda!







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...