Anda boleh mengetahui penyakit yang mungkin dialami melalui warna
lelehan faraj. Dr. Mohamed Rafi Mohammed Feizal dari Hospital Umra, Shah
Alam ada maklumat lanjut.
Tanda-tanda penyakit akibat daripada keputihan boleh diamati menerusi
ciri dan warna lelehan yang keluar saat keputihan berlangsung. Namun, perlu
anda ketahui bahawa tidak semua lelehan yang keluar itu merupakan tanda
penyakit.
Dalam kebanyakan kes, masalah keputihan yang kerap berlaku kepada para
wanita adalah disebabkan oleh kulat. Ini termasuklah wanita hamil. Namun,
apabila masalah menjadi lebih kronik, pemeriksaan perlu dilakukan kerana
dikhuatiri ia mempunyai kaitan dengan masalah kencing manis ketika hamil. Bagi
wanita yang tidak hamil, keputihan lazimnya berlaku sewaktu stres ataupun
ketika imuniti tubuh menjadi lemah.
1.
JERNIH
Sekiranya, lelehan yang dialami berwarna jernih dan banyak lendir tetapi
tidak berbau, anda tidak perlu risau. Keadaan ini merupakan sesuatu yang
normal. Lazimnya, lelehan daripada warna seperti ini akan keluar dua minggu
menjelang haid, sekitar waktu subur dan apabila hormon estrogen berlebihan
mahupun stres. Malah, keputihan seperti ini turut sering dialami oleh kebanyakan
wanita hamil.
2. PUTIH
Lain pula halnya jika lelehan yang keluar berwarna putih, berair dan
berbau busuk. Malah, jika kegatalan di sekitar kemaluan dialami dan
disertai dengan rasa sakit ketika membuang air kecil maka kemungkinan besar
anda menderita jangkitan yang yang disebabkan oleh sejenis kulat dikenali
sebagai candida albicans. Kulat ini sememangnya paling sering
hinggap di bahagian intim wanita.
3. PUTIH PEKAT
Sekiranya lelehan yang keluar kelihatan seperti susu pekat, melekit,
sangat banyak dengan bau yang tidak begitu menyenangkan, berkemungkinan berlaku
radang pada serviks dan vagina. Dalam keadaan tertentu terutamana ketika
keadaan menjadi lebih teruk, rupa lelehan itu akan kelihatan seperti tairu.
Untuk makluman anda, masalah ini sebenarnya turut berpunca daripada
jangkitan candida albicans.
4. COKLAT
Lelehan yang berwarna coklat, berair, sangat banyak dan lembap merupakan
petanda anda mengalami masalah gangguan pembuluh darah pada serviks atau
endometriosis. Warna coklat tersebut timbul akibat perdarahan seperti
keguguran, haid tidak teratur ataupun darah segar yang apabila kering bertukar
warna menjadi coklat.
5. MERAH MUDA
Bagi anda yang mungkin mengalami lelehan yang berwarna merah muda, cair,
sangat banyak tetapi tidak berbau maka berkemungkinan berlaku jangkitan
bakteria yang tidak khusus. Biasanya keputihan ini terjadi setelah melahirkan.
Selain daripada itu, ia juga mungkin haid, pendarahan di pangkal rahim, faraj
atau dalam rahim. Antara lain, gejala ini turut timbul saat anda mengalami
masalah hormon estrogen berlebihan.
WARNA-WARNA LAIN:
1. KELABU
Apabila lelehan berwarna kelabu dengan garis darah, berair, sangat banyak
dan berbau busuk, anda perlu lebih prihatin dan segera mendapatkan pemeriksaan
doktor kerana ia bekemungkinanan petanda awal kanser.
2. KUNING KEHIJAUAN
Jika lelehan yang keluar berupa kuning kehijauan, berbuih, sangat
banyak, gatal, berbau busuk dan sakit di sekitar kawasan bahagian intim serta
kemerahan pada vagina, kemungkinan besar anda mengalami jangkitan yang
disebabkan oleh kuman protozoa trichomonas vaginalis.
3. KUNING
Jangkitan yang disebabkan oleh nisseria gonorrhoe mungkin
berlaku apabila lelehan yang keluar berwarna kuning, kental, sangat banyak,
terasa panas dan gatal pada kemaluan; sakit di daerah sekitar kemaluan serta
sakit ketika anda membuang air kecil.
Jika anda mengalami gejala keputihan seperti ini, segeralah berjumpa
dengan doktor kerana rawatan khusus harus dilakukan segera bagi mencegah
komplikasi yang lebih teruk. Komplikasi yang dimaksudkan sering berlaku apabila
kuman mula menyerang serviks. Komplikasi jangka panjang yang lebih ngeri ialah
anda mungkin mengalami masalah mandul organ peranakan terutamanya tiub fallopio
rosak.
Sekiranya anda beranggapan keputihan yang dialami tergolong sebagai
abnormal, maka segeralah bertemu doktor. Namun, pastikan sebelum bertemu
dengannya, anda tidak membersihkan vagina dengan sabun pencuci atau apa-apa
jenis pencuci pun. Hal ini penting agar doktor dapat melihat keadaan sebenar
keputihan.
Selanjutnya, anda akan diberi rawatan yang bersesuaian dan dipantau
perkembangannya. Dalam sesetengah kes, sekiranya masalah keputihan yang dialami
berulang biarpun rawatan telah diberikan, suami pun perlu sama-sama menjalankan
pemeriksaan untuk mengetahui punca sebenar keputihan yang dialami. Hal ini
penting untuk dilakukan kerana punca keputihan yang anda alami mungkin berpunca
daripada beliau.
EKSTRA INFORMASI
Antibiotik yang diambil ketika sakit akan menghapuskan sekali gus
bakteria baik dan jahat. Untuk mengembalikan kewujudan bakteria baik dalam
tubuh, anda digalakkan untuk mengambil yogurt atau minuman berkultur yang
mengandungi banyak lactobacilus.
SUMBER :http://pama.karangkraf.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan