Ahad, 4 November 2012

REHATLAH SECUKUPNYA SELEPAS BERSALIN



Proses melahirkan memang memenatkan. Oleh yang demikian, rehat yang cukup sangat diperlukan.

Diakui, pada hari-hari pertama selepas bersalin, anda kurang tenaga. Walaupun melakukan kerja-kerja yang ringan, anda akan cepat penat. Kehilangan banyak tenaga semasa proses kelahiran menyebabkan anda lesu dan tidak bermaya. Untuk menggantikan tenaga yang hilang itu, anda perlukan masa yang agak panjang. Jadi, bersabarlah.

Disebabkan oleh keadaan fizikal yang masih lemah, jangan sesekali anda memaksa diri membuat pelbagai kerja rumah. Gunakan masa yang ada untuk berehat dan mengembalikan tenaga yang hilang. Anda dinasihatkan agar cukup tidur. Maknanya ketika bayi tidur, anda pun kena tidur dan bukan membuat kerja-kerja rumah.

Sekiranya ada pembantu rumah, tentu hal urusan rumah tangga tidak akan mendatangkan masalah. Semuanya ada orang yang bereskan. Tetapi, bagi yang tidak ada pembantu, janganlah malu untuk meminta bantuan suami, keluarga atau saudara-mara. Mereka tentu faham.

Setelah beberapa minggu bersalin, anda pasti sudah semakin sihat dan bertenaga. Namun, ini bukanlah bererti anda boleh terus bekerja sesuka hati. Anda masih tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Lakukan kerja secara berperingkat-peringkat. Akan tetapi, jangan mengangkat barang-barang yang berat atau yang memerlukan tenaga yang banyak dalam tempoh enam minggu selepas bersalin. Ikut kata tubuh. Jika penat berhenti dan jangan memaksa diri.

KESIHATAN EMOSI

Kehadiran cahaya mata sememangnya menggembirakan. Lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun menanti. Namun, di sebalik kegembiraan itu, wujud pelbagai perasan. Antaranya rasa bimbang. Bimbang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya. Rasa tertekan pula muncul setelah berhadapan dengan suasana baru yang pada tentunya sedikit kelam-kabut dan mengundang macam-macam masalah. Akibatnya, diri mulalah dibelenggu kemurungan. Semua ini ada kaitannya dengan mainan emosi. Tahu kah anda bahawa semasa dalam pantang, emosi perlu dijaga. Ketika inilah bantuan seluruh ahli keluarga diperlukan. Suami mesti sentiasa berada di sisi membantu melaksanakan tanggung jawab baru bersama-sama.

MAKANAN BERKHASIAT

Selain rehat yang cukup, aspek pemakanan perlu dijaga. Pengambilan makanan yang kaya khasiat pada minggu-minggu awal selepas bersalin penting untuk mengembalikan kecergasan diri dan menyembuhkan luka. Selain makanan, ibu dalam pantang turut disarankan agar minum banyak air bagi menggantikan cecair yang hilang dari tubuh dan membekalkan susu yang mencukupi untuk bayi.

INFO TAMBAHAN:

Secara umumnya, anda perlukan di antara empat hingga enam minggu untuk rasa segar semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...